PEKAN – Seorang nelayan dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam sungai selepas sebuah bot gentian kaca miliknya ditemui di tengah muara Sungai Kuala Pahang di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, mangsa Mohd. Rashid Nawang, 42, dari Kampung Marhum di sini, dikatakan keluar untuk menangkap ikan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
“Kira-kira pukul 2 petang, ada nelayan menemui bot gentian kaca milik mangsa hanyut di tengah muara sungai Kuala Pahang namun mangsa tiada di dalam bot berkenaan disyaki terjatuh.
“Usaha nelayan terbabit mencari mangsa di sekitar muara itu juga gagal sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada isteri mangsa yang membuat laporan polis,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, bot mangsa dijumpai di kawasan muara berdekatan rumah api dan benteng pemecah ombak kira-kira 500 meter daripada jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Katanya, hasil pemerhatian juga mendapati ketika kejadian keadaan sungai dan muara berombak kuat.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bermula pukul 7.30 pagi ini membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi-agensi lain,”ujarnya. – K! ONLINE