PETALING JAYA – Peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita pada pembentangan Bajet 2022 minggu lalu disambut baik golongan wanita.
Menurut Pengarah Operasi Baituljannah, Wan Nuradila Huda Wan Zaidon, peruntukan tersebut adalah sebagai satu suntikan semangat bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi antaranya melalui latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.
Jelasnya, cadangan kerajaan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam secara tidak langsung akan membuka ruang kepada wanita untuk tampil lebih ke hadapan.
“Ketika ini ramai wanita di negara ini mempunyai latar belakang dan tahap pendidikan yang tinggi.
“Selain itu, mereka juga mempunyai pengalaman tinggi dalam bidang pengurusan dan ada juga yang boleh diketengahkan untuk dilantik sebagai pengarah syarikat senaraian awam,”katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Nuradila, penyertaan wanita dalam syarikat senaraian awam juga penting agar golongan terbabit tidak terus dipinggirkan kerana mereka akan menitik beratkan perihal wanita.
Katanya, Malaysia sebenarnya telah bersedia melihat wanita maju ke hadapan dengan penglibatan mereka sebagai pengurusan dan pentadbiran tertinggi disesebuah organisasi.
“Ini dapat dilihat apabila pentadbiran negara Malaysia sendiri yang pernah mempunyai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.-K! ONLINE