ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar untuk layak ke pusingan suku akhir setelah menundukkan skuad Badak 3-0 pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia, malam ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mara ke pusingan seterusnya selepas mengutip 12 mata apabila menang semua aksi peringkat kumpulan.
Beraksi di hadapan 8,699 penonton di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pasukan bimbingan Benjamin Mora tidak mengambil masa yang lama untuk memecahkan kebuntuan apabila mencipta jaringan seawal minit kelima hasil rembatan deras Leandro Velazquez.
Gerakan gol diilhamkan Shane Lowry yang mencari Bergson Da Silva yang tidak dikawal ketat dalam kotak penalti sebelum pemain kelahiran Brazil itu mengumpan bola kepada Leandro.
Pasukan Sabah FC cuba mencari ruang untuk membuat gerakan serangan namun asakan pasukan tuan rumah berjaya menutup ruang buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menghampiri zon penalti.
Percubaan terbaik pasukan pelawat hadir pada minit ke-26 tetapi percubaan jarak jarak Amri Yahyah sedikit tersasar melewati palang gol.- K! ONLINE