fbpx

Perkukuh pendekatan ESG, tingkat pasaran antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Kerajaan komited memperkukuhkan pendekatan yang berteraskan elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sedar bahawa untuk meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, produk yang dieksport perlu mematuhi piawaian ESG yang ditetapkan.

“Kita akan ketinggalan sekiranya kita mengambil sikap sambil lewa dan bertangguh dalam usaha ke arah penerapan elemen ESG ini.

“Marilah kita semua bersama-sama untuk maju ke hadapan sebagai sebuah Keluarga Malaysia dalam usaha merancakkan ekonomi supaya negara kita Malaysia bangkit dengan lebih gemilang lagi,” katanya ketika berucap pada Anugerah Kecemerlangan Industri 2020 hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Malaysia berada pada landasan yang tepat dan berpotensi membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada bakat-bakat tempatan.

Beliau berkata, ia terbukti apabila Bank Dunia telah mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2022 meningkat sebanyak 5.8 peratus berbanding unjuran asal sebanyak 4.2 peratus.

“Bagi terus memastikan kemampanan ekonomi negara, Rancangan Malaysia Ke-12 yang baru dilancarkan telah dijajarkan dengan inisiatif pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar serta kerekayasaan sosial demi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif.

“Malaysia merupakan negara yang kompetitif di dalam perdagangan dunia, oleh itu negara perlu bersikap terbuka untuk meneroka dan melaksana inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI