PASUKAN WithU RNF Racing dilihat terus memantapkan persiapan pasukan mereka menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2022 selepas meneruskan kerjasama dengan aksesori motosikal terkemuka Itali, Barracuda.
Barracuda menjadi salah satu penaja perintis dengan pasukan Petronas Yamaha SRT dari tahun 2019 dan menyumbang kepada kejayaan yang dicapai oleh pasukan kendalian Datuk Razlan Razali.
Meskipun SRT berubah entiti baharu kepada WithU RNF Racing, Barracuda terus memberi sokongan dan menandatangi perjanjian bersama pasukan tersebut.
Prinsipal WithU RNF Racing, Razlan mengakui pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan Alessandro Giardina dan mengagumi ketekunan pihak berkenaan dalam sejarah industri permotoran.
“Kami bangga dan teruja untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kami Barracuda. Sejak saya bertemu Giardina (Ketua Pegawai Eksekutif, Barracuda) pada tahun 2019, kami berkongsi semangat dan dorongan sama iaitu untuk menjadi terbaik dalam apa yang kami lakukan.
“Mengambil kira keghairahan itu, kami bergabung tenaga untuk membawa bahagian berkualiti tinggi untuk jentera kami. Kejayaan kami adalah kejayaan mereka dan kami gembira dan bersyukur atas kepercayaan diberikan oleh Giardina dan syarikatnya untuk meneruskan perjalanan bersama kami.
“Kerjasama ini tidak mungkin datang pada masa yang lebih baik kerana kami bersedia untuk pengembaraan baharu dalam kelas utama MotoGP pada 2022.
“Produk Barracuda direka dengan penuh terperinci dan bertujuan semata-mata untuk menghasilkan kualiti terbaik dan dilengkapi dengan pasukan yang bersedia untuk menawarkan khidmat nasihat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kembali Giardina dan pasukannya bersama-sama kami agar dapat bersaing dengan menghasilkan prestasi terbaik untuk musim akan datang,” kata Razlan.
WithU RNF Racing akan menggunakan khidmat penunggang berpengalaman, Andrea Dovizioso dan pelumba Moto3, Darryn Binder bagi bersaing dalam kelas perdana MotoGP musim depan dengan jentera Yamaha YZR-M1 menjadi taruhan.