MANCHESTER – Pengurus pasukan Manchester City, Pep Guardiola menyeru agar pemainnya segera bangkit menjelang pertembungan Liga Juara-Juara dengan Club Brugge awal pagi esok.
Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), City dikejutkan apabila tewas 0-2 ketika berdepan Crystal Palace di laman sendiri sekali gus mencatat kekalahan kedua mereka selepas 10 perlawanan musim ini.
Ia adalah minggu yang sukar bagi City apabila sebelum itu tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) apabila tewas 3-5 ke atas West Ham menerusi penentuan sepakan penalti.
Namun, Guardiola dilihat tidak panik dengan kekalahan itu, malah menyifatkan ia adalah perkara biasa dalam perlawanan dan menuntut pemainnya melupakan kekalahan itu dan fokus untuk melepasi aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara.
“Standard kami sebagai satu pasukan dan secara individu sangat tinggi. Kami tahu betapa sukarnya untuk mengekalkan pemain terbaik seperti Kevin De Bruyne, Riyad Mahrez dan Raheem Sterling yang telah membantu kami mencapai kejayaan sejak empat hingga lima tahun lalu.
“Dalam musim ini saingan sangat hebat, penting untuk menjadi terbaik di sini dan positif. Pertembungan seterusnya akan menjadi cabaran bagi pasukan dan mereka perlu bangkit untuk mengatasi kekalahan lalu,” kata Guardiola.
Ketika ini, City berada di kedudukan kedua Kumpulan A dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan dan satu kekalahan, manakala Paris Saint-Germain (PSG) berada di kedudukan teratas dengan tujuh mata. – AGENSI