fbpx

Trauma lapan kali rumah naik air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haryati menjemur tilam dan pakaian yang basah dan kotor akibat banjir di rumahnya di Kampung Lubuk Pedati, Baling semalam.

BALING – Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini terutama Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Bendang Sera trauma dan lelah apabila rumah mereka kerap dilanda banjir sejak awal bulan lalu.

Sebahagian penduduk terpaksa berdepan masalah banjir sehingga lapan kali dalam tempoh tersebut.

Penduduk Kampung Bendang Sera, Salamah Musa, 64, berkata, rumahnya sudah lapan kali dilanda banjir kilat sejak awal bulan lalu.

“Semalam merupakan keja­dian kali kelapan dan paling ­teruk kerana air masuk ke dalam rumah melebihi 1.8 meter sehingga mencecah lantai rumah tingkat atas.

“Limpahan air dari Su­ngai Ketil yang jaraknya kira-kira satu meter masuk deras me­lalui tingkap menyebabkan cermin tingkap pecah selain menggegarkan rumah di bahagian atas tempat kami berlin­dung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Salamah (kiri) menunjukkan paras air banjir yang masuk melepasi paras kepala ke dalam rumahnya di Kampung Bendang Sera, Baling semalam.

Menurutnya, hujan lebat berlaku pada lewat petang kelmarin seterusnya menyebabkan air naik terlalu pantas pada waktu maghrib.

“Saya bersama lapan lagi ahli keluarga terperangkap di tingkat atas rumah lebih sejam sebelum air mulai surut sebelum anggota penyelamat tiba,” jelasnya.

Sementara Penduduk Kampung Lubuk Pedati, Haryati Hamid, 48, berkata, rumahnya pula sudah tujuh kali dilanda banjir kilat sejak awal bulan lalu.

Katanya, rata-rata penduduk sudah penat untuk membersihkan rumah yang dimasuki lumpur akibat banjir.

“Pada bulan ini sahaja, dua hari berturut-turut rumah dimasuki air dan habis semua pe­rabot dan barangan rumah rosak teruk kerana air masuk dengan cepat.

“Kami pun sudah letih bersihkan rumah setiap hari dan saya berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah perparitan yang sempit di sini,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah mang­sa banjir di negeri ini kembali meningkat apabila seramai 526 orang daripada 145 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara yang dibuka di lima daerah sehingga awal pagi semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI