KUALA SELANGOR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan seramai 2,000 wanita di seluruh negara ditransformasikan menjadi usahawan menerusi program Wanita Bangkit@KPWKM.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, inisiatif ini bagi membantu para wanita khususnya yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mencari jalan keluar daripada kesempitan hidup, seterusnya meningkatkan semula taraf ekonomi mereka.
Katanya, pelaksanaannya adalah sebagai kesinambungan daripada program bakul makanan yang dilaksanakan sebelum ini, dengan menghubungkan peluang pekerjaan dan mendekatkan golongan wanita kepada platform perniagaan dan keusahawanan.
Golongan wanita disasarkan terdiri daripada suri rumah, kumpulan B40, M40 dan wanita yang menjadi ketua isi rumah termasuk ibu tunggal.
“Kita ingin membantu wanita dan ini tidak cukup dengan sekadar bakul makanan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebaliknya kita mahu mereka mampu berdikari.
“Selepas ia dimulakan sejak 1 September lalu, kita telah berjaya membantu 1,744 wanita dengan sasaran penjanaan pendapatan kepada mereka antara RM3,000 hingga RM4,000,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyataan persefahaman bersama enam rakan strategik iaitu Syukor Dagang Sdn. Bhd., Leong Hup International Berhad, HEYHO Sdn. Bhd, DSAB Holdings Sdn. Bhd., Richworks International Sdn. Bhd. dan UniKL Resources Sdn. Bhd. di Puncak Alam, di sini.
Rina memberitahu, setakat ini sebanyak 40 syarikat dan agensi termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) terlibat dalam program Wanita Bangkit@KPWKM ini, yang juga merupakan sebahagian daripada petunjuk prestasi utama (KPI) Kementeriannya dalam tempoh 100 hari.
Pelancarannya akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Disember nanti.
“Kerajaan akan memantau peserta program ini dalam tempoh enam bulan dan kami ada rakan strategik dari Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan TEKUN dalam membantu dalam aspek pembiayaan modal.
“Wanita ini ramai yang berniaga, tetapi kita mahu perniagaan mereka diperluaskan dan diperbesarkan sehingga tersenarai dalam bursa saham,” jelasnya.
Sementara itu, seorang peserta program tersebut, Mimi Sahkila Nayan, 24, menzahirkan kesyukuran apabila mampu menjana pendapatan sehingga RM300 sehari sejak September lalu hasil menjual Syukur Burger keluaran Syukor Dagang Sdn. Bhd.
Jelasnya, dia yang sebelum ini bekerja di bahagian kualiti dan kawalan sebuh syarikat pemprosesan dedak ayam di Bestari Jaya, telah diberhentikan kerja pada Mei lalu, kesan cabaran ekonomi disebabkan pandemik.
“Memang memeritkan kerana sebulan selepas itu, iaitu pada Jun lalu saya mendirikan rumah tangga dan perlu mencari pendapatan sampingan dalam menyara kehidupan.
“Tambahan pula saya merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan perlu membantu menjaga keperluan asas empat ahli keluarga lain iaitu nenek, datuk serta dua bapa saudara yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) yang kesemuanya tinggal bersama kami,” katanya.
Menurut Mimi, dia menjual burger pada harga antara RM6.50 hingga RM13 sebiji dan telah mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM1,300.
“Tidak sampai seminggu, saya berjaya memperoleh kembali modal dilaburkan dan saya berhasrat membuka satu lagi gerai burger di Ijok dalam masa terdekat,” ujarnya.