fbpx

Jadi pelindung bukan perosak kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR AZIHAN MD GHAZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Secara umumnya, kanak-kanak mempunyai sifat yang rapuh dan mudah mempercayai orang sekeliling. Mereka tidak tahu menguruskan diri dan tidak berupaya menyelamatkan diri sekiranya berdepan keadaan yang getir.

Mereka perlu dilindungi golongan dewasa agar berasa le­bih selamat tidak kira sama ada individu itu ahli keluarga, saudara-mara, jiran dan sebagainya.

Peribahasa ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini lebih-lebih lagi melibatkan golo­ngan lebih tua dan kanak-kanak.

Lebih membimbangkan adalah individu yang layak digelar datuk sanggup melakukan per­kara tidak senonoh ke atas kanak-kanak se­perti yang berlaku di Petaling Jaya baru-baru ini.

Pendedahan yang dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bahawa enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari sejak tiga 2018 membimbangkan.

Ketua Penolong Pengarahnya, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 6,897 kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak dan remaja dicatatkan pada 2018 ­hingga 2020.

“Kita menerima 2,010 kes jenayah seksual melibatkan dua golongan itu pada 2018, 2,297 kes (2019) dan 2,590 kes (2020).

“Daripada jumlah itu, 3,324 kes melibatkan rogol; Akta Ke­salahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (2,483 kes), sumbang mahram (708 kes), rogol berkumpulan (175 kes), seks luar tabii (120 kes), pornografi kanak-kanak (54 kes), pengantunan kanak-kanak (25 kes) dan cabul (8 kes),” ujarnya.

Menurut beliau, angka kes tersebut terus meningkat walaupun ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.

“Situasi ini dapat dilihat apabila jumlah kes yang diterima tahun lalu membabitkan jenayah rogol adalah 1,105 kes diikuti Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak sebanyak 1,100 kes,” katanya.

Sementara itu, Pakar psiko­logi, Profesor Madya Dr. Mariani Md. Nor memberitahu, mangsa serangan seksual akan menga­lami trauma berpanjangan kesan daripada kejadian yang menimpa mereka.

“Mangsa akan hilang kepercayaan terhadap lelaki dan akan berlaku kebarangkalian untuk mangsa melakukan perkara sama seperti yang dilakukan ahli keluarga mereka.

“Biasanya mangsa-mangsa akan menga­lami gejala seperti mimpi buruk yang mengingatkan peristiwa lampau, menjadi sensitif dan masalah tidur sehingga menjejaskan kesihatan mental serta kehidupan seharian,” jelasnya.

Justeru itu, beliau berkata, mangsa-mangsa terbabit dalam kes seksual perlu dibantu melalui kaedah psikologi bagi mengelak mereka terus dihantui dengan kisah silam yang ngeri.

Secara tuntasnya, bagi mencegah kes serangan seksual berlaku, individu di sekeliling perlu mengambil berat perihal kanak-kanak di sekeliling dengan menjadi pelindung dan pemerhati.

Istilah menjaga tepi kain orang perlu dipraktikkan bagi mengelak kanak-kanak terus menjadi mangsa. Jika ternampak keja­dian yang pelik laporkan segera kepada­ pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI