PENEMUAN mikroplastik yang ditemui dalam darah lembu dan babi buat pertama kali mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan zarah itu bergerak melalui rantaian makanan.
Para saintis berkata, penemuan itu boleh memberi implikasi serius kepada kesihatan awam.
Namun mereka menjelaskan, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menilai tahap ketoksikan dan kemungkinan manusia boleh terdedah kepadanya.
Pakar dari Universiti Vrije, Amsterdam, Belanda, Heather Leslie yang mengetuai penyelidikan itu melakukan kajian terhadap 12 ekor lembu dan enam ekor babi.
Menurutnya, mereka menemui bukti awal tentang kewujudan zarah plastik dalam darah haiwan ternakan tersebut.
“Demi kepentingan perlindungan kesihatan haiwan dan manusia, kita perlu mengkaji lebih lanjut kemungkinan wujud pencemaran plastik dalam rantaian makanan.
“Kami menemui mikroplastik dalam badan haiwan lain sebelum ini, tetapi untuk lembu dan babi, ia adalah sesuatu yang baharu,” jelasnya.
Dipercayai mikroplastik dalam tanah boleh berakhir pada tanaman yang dimakan haiwan ternakan.