DUNIA pekerjaan akan terus berubah berikutan wabak Covid-19. Ramai penganalisis perkembangan pekerjaan berpendapat, individu yang tidak melengkapkan diri mereka dengan perubahan ini akan terus ketinggalan dalam persaingan yang semakin sengit.
Ia tidak berakhir di situ sahaja, malahan firma yang tidak bersedia dari segi kaedah pengurusan baharu juga bakal sukar untuk menyesuaikan diri.
Kini banyak webinar yang dianjurkan membincangkan tiga faktor utama yang terbukti memberi kesan positif kepada dunia pekerjaan semasa pandemik.
Ia seperti mempercepat proses transformasi digital, waktu kerja yang lebih fleksibel dan meningkatkan peluang untuk bekerja dari jarak jauh.
Jika kita lihat perkembangan sepanjang pandemik pada tahun 2020, generasi milenium akan menduduki lebih daripada 50 peratus tenaga kerja di Asia Pasifik.
Kumpulan pekerja dengan tenaga kerja daripada generasi X, Y, dan Z yang mempunyai pelbagai keperluan dan kehendak baharu, syarikat akan menilai semula cara mereka melihat dan mengadaptasi teknologi di tempat kerja pada masa akan datang.
Ini bagi membolehkan pekerja dapat bekerja di mana-mana dan bila-bila masa sahaja yang mereka mahukan.
Didorong terutamanya oleh peningkatan penggunaan teknologi pemangkin inovasi yang sangat pantas seperti Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan Augmented & Virtual Reality (AR / VR), kita mengharapkan satu kumpulan generasi pekerja berkemahiran tinggi dan berfikiran ke depan dapat dilahirkan oleh institusi pendidikan di negara ini.
Jika kita lihat trend transformasi korporat terkini untuk tahun 2020 hingga 2025, ia lebih menekankan pelaksanaan sistem automasi penuh, pengalaman pekerja, dan dorongan untuk memiliki kemampuan di luar industri teras serta pengalaman untuk menjana sumber pendapatan baharu.
Kebanyakan syarikat akan memikirkan kembali masa depan industri mereka dan melabur dalam syarikat pemula atau syarikat yang dapat membantu menghidupkan semula perniagaan teras mereka.
Dengan itu, mereka akan melaksanakan strategi mempelbagaikan portfolio pendapatan dan secara tidak langsung memerlukan pekerja yang mampu mempamerkan kepelbagaian kemahiran.
Ini menuntut satu kefahaman yang jitu daripada kakitangan dan bakal graduan bahawa pekerja yang mempunyai pelbagai skil menjadi teras dan hala tuju syarikat pada masa kini.
Pada tahun 2023, kita akan melihat lebih banyak syarikat terkemuka dunia yang akan menjana pendapatan mereka daripada sumber-sumber di luar industri teras mereka (cross sourcing).
Mereka akan menggunakan kaedah pengurusan crowdsourcing dan ini menuntut perubahan besar pemikiran tenaga kerja negara.
Ia harus dipikul oleh penyedia teknokrat seperti institusi pengajian tinggi bagi membolehkan graduan yang dihasilkan untuk mendapatkan pekerjaan benar-benar berwibawa dan memenuhi kriteria dalam dunia perniagaan berkeupayaan tinggi pada masa ini.
Dengan memberi tumpuan kepada pekerja yang mampu mempamerkan kualiti kerja berkualiti global, penggunaan sistem automasi penuh dan aliran kerja IT yang dapat dilakukan secara automatik akan membantu negara mengeluarkan lebih banyak tenaga dan sumber lain.
Ini bagi memberi tumpuan kepada tugas lebih strategik dan akhirnya akan menurunkan kadar pengangguran.
Penerapan teknologi dan penyelesaian pintar memberikan syarikat-syarikat tempatan kemampuan untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih pintar dan cekap pada masa depan bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global.
Adalah menjadi tumpuan penting bagi syarikat tempatan mengambil strategi holistik untuk memanfaatkan teknologi digital dalam tiga aspek penting iaitu pembangunan tempat kerja, pembangunan budaya kerja dan pembangunan tenaga kerja sehingga dapat berubah menjadi sebuah syarikat pintar.
Namun, bukan mudah untuk melakukan transformasi digital pasca pandemik Covid-19 kerana pelbagai cabaran termasuk tekanan perdagangan dan ekonomi yang semakin hebat dirasai selepas pandemik.
Teknologi dan kemampuan untuk berinteraksi serta memotivasi pekerja dan mendapatkan produktiviti terbaik adalah kunci dan modal terpenting dalam perjalanan transformasi sesebuah syarikat.
Strategi terbaik untuk memberikan pengalaman pelanggan terbaik dan mendapatkan nilai perniagaan maksimum mesti bermula dengan meningkatkan pengalaman pekerja.
Dalam pada itu, sebahagian besar transformasi di tempat kerja adalah mengenai teknologi pengkomputeran yang mana pengguna mengharapkan pelbagai jenis kawalan di pelbagai peranti dan penyelesaian berasaskan teknologi.
Perkembangan teknologi berubah sangat cepat dan akan terus berkembang mengikut peredaran zaman dan ini mendorong produktiviti, kolaborasi dan kecekapan dicapai dalam pelbagai cara.
Selain bergantung kepada penggunaan teknologi seperti AI, pengurusan perubahan digitalisasi dan sebagainya, terdapat banyak aspek lain yang perlu diberi perhatian oleh majikan bagi menjamin keselesaan pekerja mereka.
Ini termasuk kepatuhan terhadap perubahan yang dirancang, isu privasi dan masalah keselamatan yang tidak patut dipandang remeh oleh pihak majikan.
——————————————————————————————————————-
Afizan Amer ialah
Pensyarah Kanan Pemasaran Digital
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Kampus Rembau,
Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.