MANILA – Dua wanita pengebom bunuh diri yang melancarkan satu serangan pengeboman berganda di selatan Filipina adalah balu kepada anggota militan Daesh, mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf, kata ketua tentera Filipina semalam.
Serangan di Pulau Jolo, wilayah Sulu pada Isnin lalu menyebabkan seramai 14 orang terbunuh, manakala 75 lagi cedera termasuk anggota tentera keselamatan dan orang awam. Majoriti penduduk di Pulau Jolo adalah beragama Islam.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang dianggap paling buruk di Filipina pada tahun ini.
Pihak tentera tidak menolak kemungkinan militan Abu Sayyaf ialah dalang di sebalik serangan.
Ketua Tentera Filipina, Leftenan Jeneral Cirilito Sobejana mendedahkan identiti wanita pengebom itu sebagai Nanah dan Inda Nay.
Beliau menerusi satu mesej teks kepada wartawan menyatakan Nanah ialah isteri kepada Norman Lasuca yang dianggap sebagai pengebom bunuh diri pertama warga Filipina.
Lasuca dan seorang penyerang lain meletupkan diri mereka di luar sebuah kem tentera di Pulau Jolo pada Jun 2019, mengorbankan beberapa askar dan orang awam.
Inda Nay pula ialah isteri kepada Talha Jumsah, juga dikenali sebagai Abu Talha yang bertindak sebagai pengantara Abu Sayyaf dan kumpulan Daesh. Dia terbunuh pada November lalu dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera keselamatan di Pulau Jolo.
Pihak berkuasa Filipina masih menyiasat status kerakyatan Nanah yang berkemungkinan seorang rakyat Indonesia.
Sobejana mendesak agar undang-undang darurat dikuatkuasakan di Kepulauan Sulu untuk menggembalikan keadaan kepada normal dan mengawal pergerakan orang awam. Kepulauan Sulu ialah kawasan kubu kuat militan Abu Sayyaf sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana menolak permintaan itu.
“Tidak akan ada undang-undang darurat,” kata Lorenzana kepada agensi berita AFP kelmarin.
Abu Sayyaf yang disenaraikan sebagai satu organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat kerap dituduh melancarkan siri serangan ke atas Filipina selain menculik pelancong asing serta pendakwah-pendakwah Kristian.
Serangan bom pada Isnin lalu berlaku berhampiran sebuah gereja katolik di Pulau Jolo yang pernah menjadi lokasi serangan dua pengebom bunuh diri pada Januari 2019, meragut 21 nyawa. Satu kumpulan yang berkait Abu Sayyaf dituduh dalang serangan itu. – AFP