fbpx

Anzalna yakin kemampuan ayah terajui Finas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANZALNA berbangga dengan pelantikan bapanya, Md. Nasir sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Finas.

PETALING JAYA – Yakin kemampuan ayahnya menggalas amanah selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), pelakon Anzalna Nasir mengakui insan dihormatinya itu, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim sebagai individu yang komited terhadap tugas.

Katanya, pelantikan untuk menerajui sebuah perbadanan yang memacu perkembangan industri seni kreatif menjadi mandat besar yang diharapkan dapat disempurnakan dengan baik.

“Sejujurnya sebagai anak yang melihat semangatnya dalam melaksanakan sesuatu tugasan membuatkan saya yakin ayah mampu menggalas tanggungjawab ini.

“Ini juga amanah besar buat dirinya, tetapi menerusi kerja berpasukan semua pihak berkaitan, saya doakan mereka akan dapat bersama-sama memacu industri perfileman kita ke peringkat terbaik,” katanya kepada Kosmo! Online.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan pelantikan Md. Nasir, 62, menerajui perbadanan berkenaan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam sehingga 30 Oktober 2023.

Pelantikannya bersandarkan pengalaman luas dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan seni budaya di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Ayah kepada pelakon drama Dendam Aurora itu menggantikan kedudukan dipegang Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berakhir pada 15 Oktober lalu.

Sementara itu, ditanya lagi mengenai pelantikan tersebut, dedah Anzalna mereka sekeluarga terkejut namun berbangga sebaik dimaklumkan sendiri bapanya selepas pengumuman dibuat.

“Ayah bukan perahsia tetapi dalam soal kerja dan keluarga dia takkan campur adukkan, jadi saya faham kalau dia enggan mengesahkan khabar angin sebelum itu.

“Saya tahu mengenai desas-desus pelantikannya beberapa hari lalu selepas tular. Itu pun ada kawan yang hubungi saya bertanyakan kesahihan.

“Apabila saya tanya, ayah cuma katakan tunggu saja pengumuman sebab itu sekadar khabar angin. Memang ayah cukup profesional dalam bab kerja.

“Bagi saya, itulah istimewanya ayah yang cukup dedikasi dan amanah dalam kerjaya, manakala dalam kalangan keluarga pula dia sangat penyayang, prihatin dan tak pernah memarahi anak-anak,” katanya lagi.

Selain Anzalna, dua lagi adik beradiknya turut memeriahkan industri hiburan iaitu Afifah dan Mia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI