KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menempah sebanyak 87.9 juta dos vaksin Covid-19 membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM4.64 bilion setakat ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, tempahan dibuat melalui Fasiliti Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) dan secara rundingan terus dengan beberapa pengeluar vaksin.
“AstraZeneca melalui Fasiliti Covax sebanyak 6.4 juta dos, Pfizer & BioNTech (44.8 juta dos) dan AstraZaneca/University of Oxford (6.4 juta dos).
“Sinovac membabitkan 20.4 juta dos, CanSino (3.5 juta dos) dan Gamaleya (Sputnik V) sebanyak 6.4 juta dos,” katanya menerusi jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta kerajaan memperincikan jumlah kos dibelanjakan bagi perolehan vaksin Covid-19. – K! ONLINE