BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus kempunan untuk merangkul gelaran sulung apabila tersekat di pusingan separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Perancis Sabtu lalu.
Pada aksi di Stadium Pierre de Coubertin itu, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur apabila tewas 21-14, 10-21, 22-24 kepada beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baekcheol yang seterusnya menjadi juara.
Aaron mengakui kecewa dengan keputusan tersebut memandangkan mereka sudah melakukan segala-galanya pada perlawanan itu, namun nasib nyata tidak menyebelahi Malaysia.
“Sudah tentu kecewa apabila tewas di separuh akhir kerana kami sudah hampir dengan aksi final. Mungkin tuah tidak menyebelahi kami pada perlawanan tersebut apabila sukar untuk mematikan permainan.
“Apa yang kami lakukan seolah-olah tidak menjadi. Bagaimanapun, kami tetap positif dan menganggap belum tiba masa sesuai untuk kami membawa pulang kejuaraan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebaik kejohanan tersebut berakhir, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu memiliki tempoh kira-kira dua minggu untuk melakukan persiapan bagi menghadapi saingan Indonesia Masters dan Terbuka Indonesia di Bali.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Melaka itu enggan meletakkan sebarang sasaran awal pada kejohanan tersebut memandangkan mahu mengambil masa untuk berehat dan menilai prestasi sebelum ini.
“Saya fikir masih terlalu awal untuk cakap mengenai sasaran pada kejohanan di Bali nanti. Beri kami sedikit masa untuk berehat sebelum kembali fokus terhadap kejohanan akan datang,” ujar Aaron.