MUNICH – Pemain sayap Barcelona, Philippe Coutinho dilaporkan sedia kembali membuat penampilan di Liga Perdana Inggeris berbanding pulang ke Camp Nou ketika Manchester United, Arsenal dan Chelsea berminat mendapatkan khidmatnya.
Selepas tempoh pinjamannya beraksi di Bayern Munich, Coutinho bakal pulang ke Barcelona untuk mengadakan perbincangan bersama jurulatih baharu, Ronald Koeman mengenai masa depannya.
Pemain antarabangsa Brazil itu mempunyai baki kontrak selama tiga tahun di Camp Nou tetapi Koeman dilaporkan tidak menyenaraikan namanya di dalam perancangan pasukan dan bersedia melepaskan khidmatnya.
Bagaimanapun, gaji mingguannya sebanyak £240,000 (RM1.18 juta) menyebabkan tidak banyak kelab yang bersedia terutama ketika pandemik Covid-19 menyebabkan masalah kewangan setiap pasukan agak meruncing.
Selepas berjaya membantu Bayern merangkul trofi Liga Juara-Juara, Coutinho mengakui masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya.
“Sudah tentu saya perlu pulang ke Barcelona dan kita akan tengok apa yang akan berlaku nanti. Buat masa ini saya belum memikirkan mengenai masa depan.
“Apa yang saya boleh katakan adalah saya sudah bekerja keras sepanjang tahun untuk menikmati kejayaan seperti ini,” katanya. – AGENSI