LONDON – Legenda Manchester United, Gary Neville menganggap nasib pengurus pasukan itu, Ole Gunnar Solskjaer masih belum selamat biarpun mereka berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 3-0 kelmarin.
Neville menganggap, pihak pengurusan kelab berkenaan masih mahu melihat aksi terbaik dipamerkan oleh United dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Atalanta awal pagi esok dalam misi mereka mengukuhkan kedudukan dalam saingan peringkat kumpulan.
“Ia adalah minggu yang sangat penting buat Solskjaer, namun beliau memulakan misi tersebut seperti yang harapkan ketika berjaya mengatasi Spurs,” katanya.
Menurut Neville, United memulakan aksi menentang Spurs dengan tekanan yang cukup tinggi, namun ia sedikit reda ekoran kejayaan memenangi perlawanan berkenaan.
Jelasnya, pada aksi bertemu Spurs, benteng pertahanan United kelihatan lebih mantap berbanding aksi sebelum ini selain jentera serangan mereka juga lebih efisien dalam menyudahkan peluang yang ada.
“Mereka melakukan penyudah dengan baik dan mencipta momentum bermula dari awal perlawanan sehingga ke penghujung.
“Keputusan itu benar-benar memberikan mereka ruang untuk ‘bernafas’ sebelum aksi Liga Juara-Juara,” ujarnya.
Kekalahan mengaibkan 0-5 kepada Liverpool meletakkan Solskjaer dalam situasi yang cukup rumit, malah beliau mungkin berdepan pemecatan sekiranya gagal untuk mengubah nasib pasukan itu dalam tiga perlawanan berikutnya.
Ketika ini, Solskjaer berjaya lulus dalam ujian pertama menentang Spurs dan perlu meneruskan momentum pada aksi berdepan Atalanta awal pagi esok.
United kemudian bakal berdepan aksi lebih sukar hujung minggu nanti apabila dijadual berdepan seteru setempat, Manchester City sekali gus bakal menjadi penentu nasib pengurus dari Norway itu di Old Trafford. – AGENSI