MALANG tidak berbau buat penyanyi Lee Chae-young apabila dia mengalami kecederaan pada bahagian kaki kirinya.
Perkara tersebut dimaklumkan agensinya, Pledis Entertainment dengan memberitahu bahawa penyanyi kumpulan Fromis_9 itu sudah pun mendapatkan rawatan di hospital.
“Jumaat lalu, Lee Chae-young mengalami kecederaan pada bahagian tumit kirinya. Selepas diperiksa doktor, dia disarankan tidak melakukan sebarang pergerakan berat.
“Dia mengalami keretakan pada ligamen di kawasan buku lali kaki kirinya,” ujarnya.
Mematuhi saranan hospital, syarikat tersebut kemudian mengambil keputusan mengurangkan pergerakan Chae-young sepanjang minggu ini.
Keputusan tersebut sekali gus membuatkan dia terpaksa mengadakan persembahan secara duduk pada penganjuran konsert We All Are One 2021 K-Pop for Overcoming Covid-19 yang berlangsung Ahad lalu.