KUALA LUMPUR – Sebuah sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan secara dalam talian melalui platform media sosial tumpas dengan penahanan 168 individu dalam tempoh 10 bulan, bermula 1 Januari hingga semalam.
Individu yang ditahan terdiri daripada 156 warga tempatan, 11 warga China dan seorang warga Thailand di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, Johor, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan.
Mereka yang menjadi mangsa bukan sahaja terdiri daripada rakyat tempatan, bahkan juga dari Singapura, Taiwan dan China.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 255 kes penipuan membabitkan jumlah kerugian RM4.6 juta bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Ogos lalu.
Menurutnya, berdasarkan hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menjanjikan tawaran pekerjaan dengan pendapatan lumayan antara RM200 hingga RM300 sehari.
“Kita dapati sindiket menggunakan modus operandi dengan menyasarkan mereka yang mencari kerja sambilan bagi menampung pendapatan isi rumah atau suri rumah yang mahu mencari pendapatan sambilan.
“Mereka menggunakan kemudahan internet dan platform media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Instagram dan Facebook bagi menawarkan kerja sebagai ejen syarikat untuk membeli barangan di platform e-dagang untuk meningkatkan rating dan penjualan syarikat,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat Komersial Bukit Aman, dekat sini hari ini.
Menurutnya, mangsa akan menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dan akan diberikan link platform untuk memilih barangan yang perlu dibeli dan mereka perlu membuat bayaran ke akaun mule (keldai).
“Bagi meyakinkan mangsa, sindiket juga akan membayar semula harga barangan tersebut dengan tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus.
“Bagi menarik keyakinan pelanggan dan memberi satu jaminan, sindiket sanggup menggunakan nama-nama syarikat besar beli-belah online,” ujarnya. – K! ONLINE