fbpx

Rakam lagu untuk tujuan publisiti tidak sihat – Azmeer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Komposer terkenal, Dr. Azmeer memberi peringatan agar industri seni muzik tempatan tidak diperkotak-katikkan mana-mana individu atas nama publisiti.

PETALING JAYA – Komposer Dr. Azmeer memberi peringatan kepada mana-mana usahawan tempatan agar berhenti memperlekehkan industri seni muzik tanah air dengan menceburkan diri dalam dunia seni suara untuk tujuan publisiti murahan.

Azmeer atau nama sebenarnya, Mohd. Azhar Abu Bakar berkata, kalau seseorang itu tidak memiliki bakat menyanyi, lebih baik lupakan sahaja hasrat untuk memeriahkan industri dengan produk seni tidak berkualiti bagi tujuan ‘marketing’ atau publisiti.

“Bagi saya, perlu ada pemantauan dan penapisan daripada pihak atau agensi berkaitan agar ‘penyakit’ ini tidak terus melarat. Nak keluarkan single, tiada masalah tapi sedarlah bahawa bidang seni muzik bukan platform atau gelanggang ‘permainan’ publisiti.

“Biarlah orang yang betul-betul berbakat dan mempunyai usaha untuk menjadikan industri ini sebagai punca rezeki untuk ceburkan diri. Kalau buat single untuk tujuan mengkomersialkan nama atau produk perniagaan, nasihat saya, tolong berhenti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Azmeer yang merupakan komposer yang telah melahirkan banyak karya malar segar seperti Purnama Merindu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Menadah Gerimis (Ziana Zain), budaya tersebut yang sedang diamalkan di Malaysia akan membunuh industri kalau dibiarkan terus berlarutan.

“Macam saya cakap tadi, pihak berkaitan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau agensi yang bernaung di bawahnya perlu melakukan sesuatu. Industri akan nazak kalau senario ini berterusan.

“Orang takkan pandang industri seni muzik sebagai satu pekerjaan yang serius. Kalau dibiarkan mereka (usahawan gila glamor) terus ‘propa’ buat muzik atas nama publisiti, hancur masa depan industri kita.

“Kalau mereka nak menyanyi, tiada masalah. Silakan tapi tolong jangan ada niat nak memperlekehkan bidang ini untuk tujuan publisiti murahan produk jualan mereka. Tolong hormat industri muzik kita,” ujarnya lagi.

Getus Azmeer yang baru sahaja selesai menamatkan Ijazah Kedoktoran (PhD) Muzik di Universiti Utara Malaysia (UUM), industri seni muzik tanah air bukan tempat untuk orang yang mementingkan keuntungan diri sendiri demi mengaut hasil menggunakan landasan yang tidak betul.

“Jangan manipulasikan seni (muzik) demi kepentingan diri sendiri. Nak menyanyi atau rakam lagu, pastikan anda datang dengan bakat sekali.

“Rakam lagu untuk tujuan publisiti dan bukan dikerjakan orang-orang seni bagi saya adalah perkara yang tidak sihat. Seni harus berjalan seiringan dengan Intelligence Quotient (IQ).

“Kalau betul-betul nak martabatkan industri seni tanah air sampai ke peringkat global, situasi yang saya sifatkan sebagai kanser ini perlu dibendung bermula dari sekarang,” katanya.

Azmeer diminta memberi pendapat profesionalnya berkenaan mana-mana individu yang berstatus usahawan yang menggunakan seni muzik sebagai antara platform untuk melariskan produk jualan mereka atau demi tujuan publisiti murahan.

Hari ini pukul 5 petang, selepas Datuk Seri Vida dan Datuk Seri Aliff Syukri, seorang lagi usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli mengikut jejak langkah mereka apabila terjun dalam bidang nyanyian dengan melancarkan single pertamanya berjudul Hujan.

Lagu tersebut mendapat sentuhan komposer penyanyi Oja dan dua orang anggota Floor88 iaitu Zai Hamzah dan Achoi sementara lirik daripada Iqbal sendiri serta Zai dan Achoi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI