fbpx

38 murid selamat tadika Pasti terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah blok bangunan Tadika PASTI Nurul Hannani musnah dalam kebakaran petang tadi.

Oleh IVAN AMIRUL

TAWAU – Seramai 38 murid bersama empat guru wanita Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Nurul Hannani di Jalan Tengku Osman melalui detik cemas sebuah blok bangunan sekolah berkenaan terbakar petang tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 2 petang itu, semua 18 murid lelaki dan 20 murid perempuan berumur antara lima sehingga enam tahun berserta guru baru memulakan sesi pembelajaran sebelah petang.

Bagaimanapun, tindakan pantas guru-guru berjaya menyelamatkan semua murid terlibat.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Din, 29, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 meter selepas mendengar jeritan dua orang guru wanita meminta bantuan memadamkan kebakaran.

“Setibanya di bangunan itu, saya lihat memang api mula marak di bahagian suis utama tingkat satu bangunan separuh kekal berkenaan.

“Saya terus mengarahkan guru membawa semua pelajar keluar ke tempat lebih selamat sementara saya bersama rakan cuba memadamkan api.

“Namun usaha itu gagal berikutan api marak terlalu cepat sehingga merebak ke seluruh bahagian atas bangunan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Din, semua murid berjaya diselamatkan dan ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chin.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Khushairy Deraman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 2.06 petang sebelum 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran mengakibatkan sebuah blok bangunan separuh kekal musnah terbakar 90 peratus manakala dua blok premis termasuklah rumah penduduk mengalami sedikit kerosakan.

“Api berjaya dikawal sekitar pukul 2.30 petang sebelum operasi ditamatkan dua jam kemudian.

“Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Mohd Khushairy berkata, punca sebenaran dan jumlah kerugian keseluruhan ekoran kebakaran itu masih dalam siasatan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI