PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dinobatkan sebagai penerima Anugerah Lelaki Qawwam sempena Bulan Dakwah 2.0 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Nadir Al-Nuri berkata, anugerah tersebut adalah pertama kali diterimanya kerana sebelum ini dia tidak pernah menerima apa-apa anugerah.
“Saya memang jenis pendiam dan ‘introvert’, lebih suka senyap bila duduk dengan orang ramai, memilih membaca di sudut senyap daripada me’ngeteh’ di tengah kedai mamak dan buat kerja senyap-senyap daripada cuba menge’wow’kan orang.
“Terima kasih kepada Kementerian Agama, pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia – Yadim serta semua yang mencalonkan saya untuk anugerah ini dan memilih insan kerdil ini menggapainya,” katanya semalam.
Nadir Al-Nuri berkata, anugerah itu juga hasil usaha dan penat lelah semua yang menyokong, membaca, memberi kata semangat, menderma, mempercayai, berkorban harta dan masa.
“Ia ucapan tahniah untuk kalian, ia pengiktirafan terhadap kalian atas usaha kalian untuk ummah. Jadikanlah ia pemangkin semangat untuk kita terus memberi, terus berusaha dan terus maju jaya.
“Hanya tangan dapat ditadahkan mendoakan kalian dimudahkan segala urusan, diberi kesihatan dan diberi ketenangan dan keyakinan untuk terus berbakti,”ujarnya.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengikutnya mendoakan agar usahanya di bumi Palestin sentiasa dipermudahkan dan sentiasa dirahmati Allah.
“Alhamdulillah, tahniah Nadir Al-Nuri . Semoga segala usaha yang dilakukan mendapat keberkatan dari Allah SWT,”tulis Wan Huslaini W Hussin di ruangan komen.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Khayrul Yunus.
“Tahniah bang, semoga terus cemerlang dalam gerak kerja bakti ummah,” ujarnya.-K! ONLINE