PETALING JAYA – Seorang lelaki didakwa kurang siuman telah memukul orang ramai secara rambang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru baru-baru ini.
Sebelum kejadian berlaku seorang lelaki telah mendakwa dia telah dipukul di bahagian muka dengan sangat kuat secara tiba-tiba oleh individu kurang siuman itu.
Menerusi perkongsian video oleh @Hfzmnn di laman sosial Twitter miliknya, seorang lelaki telah dikejar dan dipukul oleh individu kurang siuman itu dan suspek juga bertindak menendang mangsa.
“Sesiapa yang pergi Tebrau City kena sentiasa berhati-hati, jangan jalan berseorangan diri. Hari ini saya telah ditumbuk dengan sangat kuat oleh seorang lelaki yang tidak tahu datang dari arah mana.
“Ini kali kedua selepas dia serang saya di muka, dia juga serang orang lain. Pengawal keselamatan tidak melakukan banyak tindakan sehingga menyebabkan dia terlepas,” tulis pengendali akaun Twitter menerusi ruangan kapsyen video baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dia kini tidak mengalami sebarang kecederaan serius kerana sempat mengelak dan menjelaskan kenapa tidak melawan semula selepas mendapat pertanyaan dari orang ramai berhubung kejadian itu.
“Ketika kejadian, saya telah lewat untuk sesi temu duga dan saya tidak mengalami sebarang kecederaan, saya tidak akan pernah terlibat dalam pergaduhan dan tolong jangan letak segala kesalahan pada saya sebab tidak melawan balik.
Susulan perkongsian video itu, rata-rata orang ramai berasa bimbang dengan keselamatan mereka selepas ini dan ada juga mendakwa pernah ternampak individu tersebut di tempat lain juga.
“Ya Allah, hari ini adik saya juga telah di pukul oleh lelaki itu. Dia pecahkan kaca mata adik saya lalu menendangnya, saya rasa dia ini betul-betul tak siuman,” kata @Helsynelly.
“Dekat area Tebrau City memang banyak orang tak betul, hati-hati siapa yang bekerja mahupun berjalan kesana,” jelas @Zakwannjr.
“Kesiannya awak adik, harap-harap tak teruk sakit kena pukul itu, mungkin individu itu ada ‘mental issue’ (masalah mental), mana ada orang ‘normal’ akan pukul tanpa sebab macam itu,” ujar @Asma33114.
Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih lebih 272,800 tontonan dan 3,100 ulang ciap di media sosial Twitter miliknya – K! ONLINE.