fbpx

Perkeso sambut baik Bajet 2020, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyambut baik pelan yang telah digariskan kerajaan khususnya yang melibatkan inisiatif perluasan jaringan keselamatan sosial dan pemerkasaan program pasaran buruh aktif.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya juga akan memberikan sokongan penuh terhadap kerajaan dan komited melaksanakan kesemua inisiatif Bajet 2022 yang melibatkan agensi ini.

Beliau berkata, menerusi insentif JaminKerja Insentif Penggajian (JKIP), sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada Perkeso untuk menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun 2022.

“Kami mensasarkan seramai 300,000 pencari kerja di seluruh negara bakal menerima manfaat bantuan pengambilan pekerja ini.

“Pelaksanaan insentif ini akan merangsang lebih banyak pewujudan pekerjaan oleh para majikan, sekaligus menggalakkan penyertaan lebih ramai kumpulan tumpuan seperti orang kelainan upaya (OKU), banduan, bekas tentera dan orang asli serta golongan wanita untuk kembali bekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, menerusi JKIP para majikan yang menggajikan individu yang tidak aktif bekerja bakal menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi 6 bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

Katanya, bagi golongan rentan pula, majikan layak menerima insentif sebanyak 30 peratus untuk 6 bulan pertama, sebelum dinaikkan kepada 40 peratus bagi 6 bulan berikutnya, tertakluk kepada pekerjaan bergaji antara RM1,200 hingga RM10,000.

“Sebagai kesinambungan kepada kejayaan program perantisan sebelum ini, JKIP akan meneruskan pemberian insentif sebanyak RM900 sebulan untuk tempoh 6 bulan kepada majikan yang menggajikan golongan perantis lepasan sekolah dan ia dijenamakan semula sebagai SIP Perantisan.

“Seiring dengan perkembangan ekonomi gig, JKIP turut menyediakan insentif sebanyak RM900 sebulan selama 6 bulan kepada individu yang terlibat dalam pekerjaan gig yang dijenamakan semula sebagai SIP Gig bagi menggantikan nama Program KerjayaGig,”ujarnya.

Tambah beliau, Perkeso juga akan memperluas liputan perlindungan keselamatan sosialnya khusus kepada wanita dalam kalangan suri rumah menerusi Program Kasih Suri Keluarga Malaysia.

Jelasnya, Program Subsidi Upah juga akan dijenamakan semula sebagai SIP Subsidi Upah dengan peruntukan sebanyak RM600 juta dan dijangka akan memanfaatkan seramai 26,000 majikan membabitkan 330,000 pekerja daripada sektor ini.

“Kerajaan juga akan meneruskan pemberian bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah SIP kepada pencarum dan bukan pencarum Perkeso yang dijenamakan semula SIP Elaun Mencari Pekerjaan (SIP EMP).

“Perkeso juga akan meningkatkan Had Siling Gaji Caruman dan Kadar Minimum Pencen Skim Keilatan kepada mereka yang kehilangan pencari nafkah dalam keluarga akibat Covid-19 dengan peruntukan sebanyak RM267 juta,” ujarnya.

Selain itu kata Mohammed Azman, kadar minimum Pencen Penakat yang dibayar kepada Orang Tanggungan yang layak pula akan dinaikkan daripada RM475 sebulan kepada RM550 sebulan atau lebih kurang 15.8 peratus kenaikan daripada kadar sedia ada.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI