KUALA LUMPUR – Parti politik yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu akur kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, KKM mempunyai dasar dan strategi kawalan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 disebabkan PRN Melaka.
“Berkaitan SOP PRN Melaka, kita ada dasar dan strategi kawalan wabak menerusi SOP ditetapkan. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah SOP disebabkan permintaan pihak tertentu.
“Apabila kerajaan menetapkan SOP, kita tidak boleh kata perkara tertentu (yang bercanggah dengan SOP) boleh dilaksanakan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Lee Boon Chye (PH-Gopeng) tentang SOP diumumkan untuk PRN Melaka terlalu ketat sedangkan Melaka dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
KKM sebelum ini menetapkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka dilarang mulai 25 Oktober hingga 27 November ini.
Beberapa hari lalu Barisan Nasional (BN) dikompaun kerana mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut dikompaun kerana mengingkari larangan KKM dengan mengadakan ceramah bergerak di Melaka.
Begitu juga Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dikompaun kerana mengadakan sidang media di Bangunan Merah, Banda Hilir. – K! ONLINE