PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST3/2021 selama 14 hari mulai esok hingga 15 November 2021.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia melibatkan 854 tempat pameran RDPT ST3/2021 di seluruh negara.
“RDPT ST3/2021 ini mengandungi 68,228 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak dan 15,143 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon dalam tempoh antara 1 Julai 2021 hingga 30 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semakan RDPT ST3/2021 boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan seperti berikut, antaranya hadir ke 854 tempat pameran RDPT ST3/2021 di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan atau melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri.
Selain itu, semakan boleh dibuat dengan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST3/2021 yang disediakan melayari portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak.
Ikmalrudin berkata, semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST3/2021.
“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST3/2021, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.
“Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST3/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C,” katanya.
Beliau berkata, borang B dan Borang C boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan.
Ujarnya, ia perlu dilakukan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.
“Semasa tempoh Pameran RDPT ST3/2021, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
“Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST3/2021 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya. – K! ONLINE