PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia memperuntukkan RM400,000 e-baucar tunai untuk ditebus menerusi kempen ‘Rediscover Fun A-Theme Park Family Affair’ berlangsung bermula semalam sehingga 10 Disember ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) dan pengunjung juga boleh menikmati diskaun tiket masuk sehingga 50 peratus di lebih 25 taman tema dan pusat hiburan keluarga.
Menurutnya, program kerjasama ini adalah selari dengan Pelan Pemulihan Pelancongan bertujuan menyemarakkan kembali industri pelancongan domestik yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Dianggarkan sekurang-kurangnya 40,000 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan kempen ini.
“Pada masa sama, MATFA turut optimistik untuk meraih 50 peratus peningkatan kunjungan orang ramai ke taman tema sepanjang kempen berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini. -K!ONLINE