fbpx

‘Saya mampu berdiri macam mereka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainal SAFUAN gigih mengusahakan makanan secara dalam talian di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kekurangan anggota badan tidak menghalang seorang mahasiswa dari Kampung Melayu Majidee di sini untuk mencari rezeki dengan bergelar sebagai usahawan bidang masakan.

Walaupun hanya mempunyai sebelah kaki dan berkerusi roda, Zainal Safuan Zainal Abidin, 31 membuktikan dia mampu ‘berdiri’ seperti insan sempurna fizikal yang lain.

Zainal Safuan merupakan mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mengambil sijil perakaunan profesional (ACCA) dan masih lagi belajar secara dalam talian sejak menyambung pengajian pada tahun 2014.

Bercerita mengenai kekurangan diri, anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya kira-kira 11 tahun lalu ketika sedang menjalani pengajian diploma dalam bidang perakaunan di UiTM Larkin di sini.

“Saya terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2010 ketika umur 19 tahun.

“Ketika itu, saya yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang selepas mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan di sebuah restoran makanan segera di Setia Tropika kira-kira pukul 11.45 malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru di sini semalam.

Menurutnya, ketika tiba dipersimpangan jalan, dia telah dirempuh sebuah kereta menyebabkan kaki kanannya tersepit dan diseret di atas jalan raya.

“Doktor terpaksa memotong bahagian kaki saya sehingga paras betis kerana luka yang teruk dan tidak dapat diselamatkan.

“Apabila mendengar kata-kata doktor saya rasa amat sedih dan hampir putus asa, selama enam bulan saya cuti belajar dan cuba belajar dengan kehidupan hanya dengan sebelah kaki,” ceritanya.

Bagaimanapun, Zainal Safuan berjaya bangkit dan memilih bisnes penyediaan makanan secara online dengan memasak sendiri juadah tengah hari iaitu ayam butter dan telur masin bersama nasi serta spagheti dengan harga RM5 hingga RM9 sebungkus.

Katanya, dia mula belajar memasak melalui media sosial pada tahun 2019 dan hanya mengambil masa sebulan untuk memahirkan diri.

Dengan hanya berkerusi roda, pemuda cekal ini bergerak sendiri membeli bahan mentah di pasar raya berhampiran dan memasak sendiri tanpa dibantu oleh sesiapa sehingga ke proses penghantaran dengan memandu kereta.

“Saya akan menyiapkan sebanyak 20 hingga 30 pek untuk dihantar sekitar Johor Bahru dan orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan dengan menghubungi nombor telefon 01112717574 ,’’ jelasnya.

Walaupun sibuk dengan memasak dan menghantar pesanan, dia tetap belajar menghabiskan baki 10 kursus perakaunan profesional secara dalam talian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI