fbpx

Pemandu e-hailing didakwa ugut peminjam, bantu ah long

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fakhrul (kiri) dan Ridhwan Idham (baju biru) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Pontian, Johor hari ini.

PONTIAN – Dua pemandu e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut seorang peminjam dan membantu kegiatan syarikat wang pinjaman tidak berlesen atau ah long pada September dan 25 Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd. Fakhrul Faiz Mohd. Nor, 32, dan rakannya, Ridzwan Idham Abdullah, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa menyimpan cat merah dan nota ugutan terhadap seorang peminjam sebuah syarikat pinjaman wang tidak berlesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bayu Puteri, Johor Bahru pada 25 Oktober lalu.

Sementara itu pertuduhan kedua, Mohd. Fakhrul Faiz didakwa menjalankan aktiviti membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah dengan membuat kutipan dan memberi akaun bank miliknya bagi urusan pembayaran pinjaman wang tidak berlesen seorang peminjam pada September lalu.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh dihukum mengikut akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Patricia Shyedlyn Jari, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Shuhadah Mahzan.

Terdahulu, pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh bagi setiap pertuduhan namun peguam memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan kedua-dua tertuduh mempunyai pendapatan yang rendah.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM6,000 dengan dua orang penjamin ke atas Mohd. Fakhrul Faiz manakala rakannya sebanyak RM 3,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula di Mahkamah Majistret Kulai pada 25 November depan untuk keputusan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI