PETALING JAYA – Impian skuad bawah 22 tahun (B22) kebangsaan untuk mengesahkan slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia B23 di Uzbekistan pada Jun tahun depan akhirnya menjadi kenyataan.
Ia selepas Malaysia B22 muncul juara Kumpulan J dalam saingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia menerusi dua kemenangan dan satu seri daripada tiga perlawanan.
Kejayaan tersebut hadir selepas skuad bimbingan Brad Maloney itu berjaya mengikat pasukan pilihan, Thailand dengan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi terakhir Kumpulan J di Stadium MFF sebentar tadi.
Dalam aksi itu, skuad muda negara lebih banyak menguasai permainan separuh masa pertama dengan hantaran-hantaran pendek yang bermula dari bahagian bawah ketika mengatur serangan.
Idea-idea menarik daripada dua jeneral bahagian tengah diketuai kapten, Muhammad Mukhairi Ajmal dan Nik Akif Syahiran Nik Mat bagaimanapun gagal dibaca oleh trio serangan skuad negara untuk melakukan percubaan berbahaya ke gawang Thailand.
Corak permainan Malaysia B22 dilihat lebih bertenaga dalam babak kedua dengan larian-larian deras daripada Luqman Hakim Shamsuddin, namun masih lagi buntu untuk merobohkan benteng pertahanan Thailand.
Pujian juga harus diberikan kepada barisan belakang skuad negara terutama penjaga gol, Muhammad Azri Ghani kerana berjaya mengekang kemaraan penyerang-penyerang Thailand sepanjang 90 minit permainan.
Meskipun seri tanpa sebarang gol, namun ia sudah memadai buat Malaysia B22 untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan J dengan kelebihan dua mata ke atas Thailand yang terpaksa akur di tangga kedua. – K! ONLINE