PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah buat seluruh keluarga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. James Jemut Masing, yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Ujar Ismail Sabri, pemergian mendiang satu kehilangan yang besar kepada negeri Sarawak dan negara.
Jelas beliau, mendiang merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan berwibawa.
“Jasa dan pengorbanan mendiang pasti akan dikenang sampai bila-bila.
“Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan semoga diberikan kekuatan serta kesabaran menghadapi saat duka ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Masing meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Berdasarkan perkongsian di laman Facebook Sarawak Update, Presiden Parti Rakyat Sarawak itu dimasukkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas disahkan positif Covid-19 pada September lalu.
Difahamkan Masing sudah melengkapkan dua dos vaksin.
Berita pemergian Masing turut disahkan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Abdullah Saidol.-K! ONLINE