PETALING JAYA – Sebanyak RM155 juta jumlah deposit diperoleh menerusi BMS 2021 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berakhir semalam.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kutipan itu berjaya merekodkan pencapaian 141 peratus daripada sasaran PTPTN sebanyak RM110 juta.
“Pencapaian itu sekali gus menunjukkan masyarakat mempunyai kesedaran dan meletakkan keutamaan membuat simpanan bagi tujuan pendidikan anak-anak.
“Perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi merupakan langkah pertama yang perlu dititik beratkan oleh ibu bapa sebagai persediaan awal untuk melangkah ke menara gading,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutup Bulan Menabung Simpan SSPN 2021 yang berlangsung sepanjang Oktober 2021.
Sementara itu Ahmad Dasuki berkata, PTPTN pada tahun ini mensasarkan jumlah deposit sebanyak RM1.8 billion dengan 400,000 pembukaan akaun baharu.
“Rekod sehingga September 2021 menunjukkan pencapaian sebanyak 315,984 pembukaan akaun baharu Simpan SSPN.
“Manakala bagi deposit yang diterima sepanjang tempoh yang sama adalah sebanyak RM1.78 billion. Ia satu pencapaian yang sangat membanggakan ketika negara masih lagi dilanda pandemik Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE