GEORGE TOWN – Dua mangsa terbunuh dan dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta, motosikal dan pejalan kaki di Solaria Residences, Jalan Tun Dr. Awang, Bayan Lepas dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, penunggang motosikal, Faizal Abu Bakar, 33, dan pejalan kaki, Suhaila Zainol Abidin, 45, dilaporkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihaknya yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan mendapati, pemandu kereta lelaki berusia 25 tahun dan pejalan kaki wanita yang tiada maklumat umur didapati mengalami kecederaan parah.
“Bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Honda Wave serta dua orang mangsa pejalan kaki.
“Pemandu kereta yang tidak tersepit telah dikeluarkan oleh orang awam dan seorang pejalan kaki telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jurucakap itu berkata, kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian telah selesai sebelum operasi ditamatkan pada pukul 1.38 pagi. – K! ONLINE