fbpx

Selangor FC mudah ‘belasah’ Kuching City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain-pemain Selangor meraikan jaringan pada perlawanan Piala Malaysia 2021 antara Selangor menentang Kuching City FC, di Stadium MBPJ, di sini hari ini. /FOTO SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC menunjukkan belang selepas mudah menewaskan Kuching City 5-1 pada aksi peringkat Kumpulan C saingan Piala Malaysia sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad kendalian Karsten Neitzel terpaksa mempertaruhkan pemain muda selepas kehilangan beberapa tonggak utama terutama penyerang import, Ifedayo Olusegun.

Bagaimanapun, situasi tersebut tidak menjadi masalah buat skuad Gergasi Merah yang mendahului seawal minit pertama hasil ledakan perancang Myanmar, Hein Htet Aung.

Kelebihan Selangor tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disudahkan Michael Ijezie pada minit ke-10.

Bersambung pada babak kedua, Selangor memperkemaskan jentera serangan dan kembali mendahului saingan menerusi ledakan Ahmad Danial Asri pada minit ke-56.

Tuah terus memihak pasukan tuan rumah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh kapten, Safuwan Baharudin berselang sembilan minit kemudian.

Ahmad Danial menambah derita skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dengan jaringan kedua peribadi serta gol keempat buat Selangor pada minit ke-79.

Pemain gantian, Sean Eugene Selvaraj melengkapkan kemenangan bergaya pasukan Selangor apabila meledak pada masa kecederaan untuk memastikan keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Selangor mengutip enam mata di kedudukan kedua kumpulan C manakala Kuching City kekal dengan satu mata selepas mengharungi tiga perlawanan. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI