KUALA LUMPUR – Gara-gara gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, seorang wanita warga asing yang diberi gelaran ‘Karen’ oleh orang ramai kini sedang diburu oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, satu klip video berdurasi 20 saat tular di laman Twitter bertajuk ‘Spotted the karen making another scene at BSC! #KARENDIOR #KARENKLCC’ kira-kira pukul 11.30 malam semalam.
“Klip video tersebut memaparkan seorang wanita dipercayai warganegara asing berusia 51 tahun telah ditahan oleh pengawal keselamatan dan berlakunya pertengkaran di sebuah pusat beli-belah di kawasan Bangsar kerana tidak memakai pelitup muka ketika cuba memasuki pusat membeli-belah berkenaan.
“Hasil penelitian mendapati berlaku pelanggaran SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21a Akta 342 dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 kerana melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini bimbang mendatangkan kegusaran awam dan sebarang perlanggaran SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya.
Saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta hadir ke mana-mana balai polis berdekatan untuk memberi keterangan atau boleh salurkan maklumat kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 serta Hotline Polis Kuala Lumpur, 03-2115 9999. – K! ONLINE