SELAYANG – Seorang remaja lelaki ditemui lemas ketika mandi bersama empat orang rakannya yang lain di air terjun Ulu Yam, Kampung Sungai Tua Baru, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, mangsa yang lemas dikenali sebagai Muhammad Hafiz Khalil berusia 17 tahun.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.45 petang dan menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian pada pukul 4.15 petang, pihak bomba melakukan gerakan mencari mangsa melalui kaedah ‘water surface rescue’ menggunakan peralatan ‘grapling iron’.
“Mangsa berjaya ditemui pada pukul 4.42 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE