PETALING JAYA – Peruntukan lebih besar kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam Bajet 2022 yang diumumkan kelmarin membuktikan keprihatinan kerajaan Keluarga Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, menerusi bajet itu, pihaknya dapat mengorak langkah mentransformasi sektor pertanian ke arah lebih moden, dinamik dan menjadikan negara lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia.
Katanya, MAFI akan terus berperanan melaksanakan Bajet 2022 secara efektif bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian bagi membolehkan rakyat memperoleh bekalan mencukupi dan berkhasiat.
“Secara umumnya, semua inisiatif yang diumumkan dalam Bajet 2022 sudah dijajarkan kepada Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 yang dilancar pada 25 Oktober lalu.
“Saya yakin dan percaya Bajet 2022 dapat membantu golongan sasar, pengeluar dan pengusaha agromakanan bagi memastikan kesejahteraan sosioekonomi dan kelangsungan perusahaan masing-masing untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan sektor agromakanan serta Keluaran Dalam Negara Kasar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Tambahnya, biarpun negara masih berdepan pandemik Covid-19, sektor agromakanan mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 2.3 peratus pada tahun lalu dan diunjur akan terus berkembang pada kadar 4.3 peratus tahun ini.
Beliau berkata, sebanyak RM3.28 bilion diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus (OE) dan RM1.54 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
MAFI turut memperkenalkan empat inisiatif bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan termasuk projek Jaminan Bekalan Makanan.
Turut diadakan Program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara bagi menyediakan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan stok bekalan makanan serta hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk petani dan pengusaha agromakanan. -K! ONLINE