SERDANG – Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai mengamuk dan memukul cermin topi keledar seorang jurugambar dalam kejadian di Jalan Besar Seri Kembangan di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, mangsa yang berusia 36 tahun membuat laporan polis susulan kejadian tersebut.
“Pada pukul 4.50 petang kelmarin, mangsa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.
“Mangsa menunggang Yamaha FZ150 sempat memberhentikan kenderaannya tetapi pemandu Triton mengundur dan melanggar mangsa hingga motosikalnya terperosok di bawah kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, semasa berbincang bagi menyelesaikan kemalangan itu, pemandu yang berbadan besar dan bertatu mengamuk lalu memukul cermin topi keledar mangsa hingga retak.
“Mangsa tidak cedera dan akan mendapatkan pengesahan daripada hospital sekiranya terdapat kecederaan dalaman.
“Kejadian itu dirakam menerusi rakaman video papan pemuka kenderaan seorang saksi yang berada di lokasi kejadian,” ujarnya. – K! ONLINE