PETALING JAYA – Insentif diskaun bayaran balik seperti yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2022 semalam, akan memberi manfaat kepada 1.67 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, ia jelas menunjukkan kerajaan dan pihak PTPTN sentiasa prihatin kepada para peminjam terutamanya ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.
Katanya, peminjam yang hendak membuat penyelesaian penuh pinjaman atau bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran perlu mendapatkan pengesahan baki hutang melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN mulai 1 November ini.
“Selain itu, peminjam yang ingin membuat bayaran melalui potongan gaji atau debit terus hendaklah membuat permohonan secara dalam talian melalui potongan gaji di https://www.ptptn.gov.my/potonggajionline/ atau debit terus di https://www.ptptn.gov.my/direct_debit/direct_debit.html.
“Peminjam yang sedang membuat bayaran balik pinjaman melalui potongan gaji atau debit terus juga layak mendapatkan diskaun 10 peratus tertakluk kepada bayaran balik yang diterima oleh PTPTN bermula 1 November tahun ini hingga 30 April 2022,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, insentif diskaun akan dikemaskini di dalam akaun pinjaman peminjam pada akhir setiap bulan dan mereka boleh membuat semakan penyata mulai tujuh haribulan pada bulan yang berikutnya.
Katanya, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berharap agar para peminjam terus menyokong usaha kerajaan dalam melestarikan dana pembiayaan pendidikan dengan melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman untuk pendidikan generasi akan datang.
Semalam, Kosmo! melaporkan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam Pembentangan Bajet 2022 berkata, kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November ini hingga 30 April 2022.
Katanya, diskaun sebanyak 15 peratus diberikan atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; kedua, diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan ketiga, diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual. – K! ONLINE