fbpx

Zizi takkan buka tudung demi watak, rujuk Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIZI menjelaskan, dia sama sekali tidak akan membuka tudung semata-mata demi wataknya dalam drama Jamu Nesan.

PETALING JAYA – Menjawab dakwaan penerbit drama Jamu Nesan, Datuk Rafiena yang mengatakan Zizi Kirana banyak kerenah sehingga namanya terpaksa digugurkan dalam projek drama tersebut, penyanyi itu bertegas tidak akan membuka tudung semata-mata untuk karakter ketua mafia.

Getus pemilik nama sebenar, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil itu, dia tidak akan sesekali berpaling tadah membuka tudung hanya kerana tuntutan lakonan.

Dia turut merujuk Mufti Wilayah Persekutuan atas apa yang berlaku.

“Tak pernah cakap tak nak berlakon atau teruskan penggambaran. Memang dari awal saya suka dengan watak dan cerita drama ini. Tapi perlu selari dengan penampilan saya yang sudah bertudung.

“Saya setuju ambil tawaran ini (watak Madam Zoora) sebab sepatutnya panggambaran selesai sebelum Ramadan,” katanya.

Jelas pelantun lagu Eh itu, penggambaran drama yang diarahkan oleh Datuk Seri Eizlan Yusof itu sepatutnya melabuhkan tirai dua hari sebelum Ramadan. Pada waktu itu, dia masih belum bertudung.

“Ikut jadual asal, penggambaran karakter saya selesai dua hari sebelum Ramadan. Waktu itu memang saya belum bertudung.

“Pun begitu, ketika masuk set, pengarah bertukar dan saya okey sahaja. Disebabkan banyak pertukaran dan perubahan, banyak yang sudah bertukar dan bertambah. Saya tetap ikut tapi masih tak boleh habiskan babak saya sehinggalah penggambaran tertunda,” tuturnya.

Dedah isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu lagi, apabila penggambaran disambung semula, pihak produksi sudah dimaklumkan bahawa dirinya ketika itu sudah bertudung.

“Dah adakan mesyuarat secara atas talian dan saya ingatkan penggambaran boleh diteruskan dengan penampilan baharu (bertudung).

“Saya diminta pakai rambut palsu sampaikan saya minta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan apa yang terjadi. Saya tak mahu buka tudung dan mahu mereka (produksi) sesuaikan karakter itu dengan penampilan bertudung ini. Saya minta mereka faham situasi saya sekarang,” katanya.

Zizi berkata lagi, dia memohon pengertian daripada Rafiena yang turut berperanan sebagai penulis skrip drama terbabit.

“Takkan sebab ini (projek drama) saya kena ubah prinsip buka tudung. Dia (Rafiena) juga bertindak sebagai penulis skrip, jadi mungkin boleh tukar ikut situasi semasa. Mufti pun cakap begitu ketika saya minta pandangan,” katanya.

Dalam pada itu, pengurus Ziri, Farahrizan Razak berkata, permasalahan timbul apabila pengurus produksi projek drama tersebut bertukar.

“Baki penggambaran Zizi ada 17 hari lagi. Saya dah beritahu tarikh Zizi dan boleh ‘shoot’ tapi tiba-tiba mereka tukar PM (project manager) pula.

“Mereka tukar PM bukan masalah saya. Tukar siapa pun dalam projek atau produksi itu, saya tak perlu tahu. Saya hanya jaga artis sebab saya berurusan dengan semua sejak awal. Semua bukti ada,” katanya.

Terdahulu, menerusi laporan sebuah portal hiburan, Rafiena mendedahkan dia terpaksa menanggung kerugian besar gara-gara terpaksa menggugurkan nama Zizi daripada projek drama Jamu Nesan yang berbaki 30 peratus sahaja lagi.

Rafiena berkata, disebabkan Zizi sudah bertudung, itu sedikit sebanyak mengganggu aliran penggambaran dan pihaknya terpaksa menggantikan posisi penyanyi itu dengan Didi Astillah untuk menjayakan watak Madam Zoora, seorang ketua mafia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI