PETALING JAYA – “Saya percaya bahawa ilmu, pengetahuan dan pengalaman itulah yang mendewasakan seseorang pengacara itu.”
Demikian komen bernas pengacara berpengalaman, Datuk Aznil Nawawi berkenaan budaya atas gerak kerja sesetengah pengacara yang sepertinya sudah ‘lari’ daripada tugas hakiki kerjaya tersebut.
Tegas Aznil, 59, penting untuk seseorang pengacara atau hos rancangan sebuah program televisyen mengisi dada dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman ketika menjalankan tugas mereka.
Aznil atau mesra disapa sebagai Pak Nil berkata, dia mengerti tugas pengacara yang ada ketikanya perlu memprovokasi tetamu jemputan dalam membincangkan sesuatu topik.
Bagaimanapun ujarnya, provokasi tersebut haruslah ditangani dalam suasana berhemah dan bertanggungjawab.
“Saya memahami kadang-kadang keterujaan semasa mengacara, nak bercerita dengan seronoknya dalam sebuah program. Ada ketika, pengacara berdepan dengan situasi tetamu susah untuk melontarkan suara. Maka, satu caranya adalah dengan melakukan teknik provokasi.
“Peranan itu adakala terpaksa dimainkan bagi membolehkan perbincangan menjadi hidup. Provok supaya tetamu jadi gembira, marah dan kalut untuk memastikan dia bercakap. Tetapi harus dilakukan dengan bertanggungjawab, begitu juga tetamu jemputan itu sendiri,” katanya yang ditemui media pada majlis pelancaran produk baharu Eskayvie Sdn. Bhd., Diffenz Junior di Hotel St. Regis baru-baru ini.
Pengacara yang cukup sinonim dengan program realiti, Akademi Fantasia itu juga menasihatkan agar tetamu undangan perlu berhati-hati dengan setiap butir bicara yang dikeluarkan semasa ditemu bual bagi mengelakkan isu sensitif.
“Contohnya, berkenaan apa yang berlaku baru-baru ini dalam sebuah rakaman program televisyen ada tetamu menyebut nama secara spesifik. Bagi saya, kalau boleh jangan sebut nama.
“Satu lagi, secara umum, stesen televisyen juga bertanggungjawab sunting keluar perkara sensitif. Apapun, kita belajar dan jangan ulang benda yang berlaku. Saya sendiri pun masih lagi belajar meski sudah 30 tahun terlibat dalam bidang ini,” katanya.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial tentang satu program bual bicara tempatan yang dikecam ramai kerana didakwa tidak sensitif dan sepertinya mempromosi jenaka seksual atau rogol. – K! ONLINE