PETALING JAYA – Mengecap populariti mendadak sehingga berjaya meraih hampir 400,000 pengikut TikTok dalam tempoh singkat, pemuda yang kian mengorak langkah sebagai pensohor media sosial, Imran Bard menafikan sudah menerima tawaran berlakon.
Imran atau nama lengkapnya, Muhammad Al Imran Badaruddin berkata, dia tidak pernah terfikir untuk ke arah tersebut (berlakon).
“Saya orangnya biasa-biasa sahaja. Cekak memang ‘trademark’ saya.
“(Tentang berlakon), mana ada. Tak adalah. Saya tak ‘good looking’ (sedap mata memandang) nak jadi pelakon,” katanya dalam satu sesi siaran langsung (live) bersama pengacara Ain Edruce untuk segmen LimaLeTop YouTube hurr.tv.
Terkenal dengan aksi bersahaja termasuk dialog ‘ghisau ghisau’, Imran, 20, berkata, dia tidak menyangka dikenali ramai dalam sekelip mata gara-gara kuasa tular Internet.
“Mula-mula saya tengok kawan main TikTok. Sebelum itu, saya tak pandang pun (TikTok).
“Tengok kawan main TikTok kemudian blow up (meletup). Jadi, saya pun terpanggil nak main (TikTok). Saya cuba, mana tahu rezeki kita pula dapat naik (terkenal),” ujarnya yang berketinggian 180 sentimeter.
Selain popular mendadak dalam TikTok, Imran yang merupakan pelajar jurusan seni kulinari turut mengecap populariti drastik dalam YouTube.
Sehingga kini, jumlah subscriber YouTube Imran sudah mencecah 275,000 orang.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.
Barangkali disebabkan itu, salah satu video yang dimuat naik dalam YouTube miliknya berjudul ‘Dalgona Candy’ kian meraih 1 juta tontonan.
Nama Imran Bard semakin menjadi sebutan ramai apabila dialog ‘ghisau ghisau’ olehnya menjadi fenomena sehingga ramai pelakon popular tanah air menggunakan suara dan dialog tersebut dalam video mereka termasuklah Nur Fazura dan Ben Amir. – K! ONLINE