PETALING JAYA – Pemuda UMNO kecewa kerana pengeluaran simpanan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara one-off tidak dimasukkan oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2020.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau berharap Menteri Kewangan dapat memberi penjelasan tuntas dalam ucapan pergulungannya nanti mengapa tuntutan rakyat itu tidak dapat penuhi.
*Saya akui kegagalan untuk meyakinkan kerajaan betapa rakyat amat mengharapkan i-Citra KWSP RM10,000 secara one-off bagi memulakan kehidupan baharu pasca pandemik akibat terlalu banyak komitmen tertunggak.
“Pelbagai memorandum dengan segala justifikasi berpandukan rintihan rakyat yang benar-benar susah telah dikemukakan berkali-kali. Bahkan usaha-usaha melobi telah kami lakukan termasuklah kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sendiri juga siri-siri pertemuan dengan pengurusan tertinggi KWSP,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya mendapati secara umum Bajet 2022 yang dibentangkan kelmarin menyeluruh dan optimistik serta bakal menjadi instrumen penting untuk pemulihan negara.
Menurut beliau, rumusan awal itu berdasarkan pemerhatian mengenai program-program dan peruntukan untuk kumpulan-kumpulan sasar yang disebut secara spesifik oleh Menteri Kewangan.
Kata beliau, ia termasuk untuk golongan muda, penjawat awam, golongan pekerja, pengusaha perniagaan, Ibu dan wanita, belia dan kanak-kanak dan banyak lagi.
Namun, katanya, Pemuda UMNO tidak boleh “lepas tangan” maka dokumen- dokumen Bajet 2022 akan diteliti dengan mendalam.
“Pandangan, kritikan dan cadangan untuk penambahbaikkan Bajet 2022 oleh Pemuda UMNO akan disampaikan kepada anggota pentadbiran kerajaan dan ahli-ahli Parlimen.
“Kami mahu manfaat sebenar Bajet 2022 akan sampai kepada rakyat dan memangkin kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya. – K! ONLINE