fbpx

Fasa menghargai kehidupan bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF, WARTAWAN EKSEKUTIF

KEBEBASAN yang dikecapi sebelum ini direntap selepas kita semua terkurung. Jika sebelum ini, berduyun bebas keluar, namun segalanya berubah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Diuji masalah kewangan, rindu kampung halaman, masalah kesihatan. Hari demi hari berlalu sepintas kelipan, ada yang terkorban dan ada yang bangkit meneruskan harapan. Pandemik Covid-19 mengajar kita erti kehidupan dan menghargai insan.

Kini, pandemik bakal beralih ke fasa endemik. Rakyat yang terkurung kini bebas meneruskan kehidupan.

Harus diingatkan rasa lega itu tidak akan kekal lama sekiranya kita alpa dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP). Kebebasan yang diinginkan kini terletak di bahu kita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju memberi kebenaran untuk rak­yat Malaysia menerima vaksinasi lengkap merentas ne­geri pada 11 Oktober lalu.

“Rakyat kini bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa selepas lama berpisah, melancong dan sebagainya.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melebihi 90 peratus.

“Rentas negeri dibenarkan, jadi bebaslah dan inilah yang ditunggu oleh masyarakat. Bagaimanapun saya harap jangan ambil lewa SOP,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipetik berkata, keputusan membenarkan aktiviti me­rentas negeri sekiranya vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus adalah langkah yang tepat dan sesuai pada masanya.

Katanya, sekiranya mahu menunggu sehingga sekurang-kurangnya 80 atau 90 peratus jumlah penduduk di negara ini menerima dua dos lengkap, tindakan tersebut akan menyebabkan rakyat terpaksa menunggu lebih lama sehingga pertengahan tahun hadapan.

Kadar keseluruhan itu sukar untuk dicapai dalam masa singkat memandangkan sekitar 20 peratus penduduk merupakan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang mana masih tiada vaksin dibenarkan untuk golo­ngan tersebut.

“Saya perlu percaya kepada rakyat Malaysia, sekiranya kita tak bagi mereka (rakyat) me­rentas negeri, ini akan menyumbang kepada pelbagai masalah. Masalah tekanan mental, tekanan emosi. Ada ramai yang dah sampai setahun tidak berjumpa ibu bapa dan keluarga masing-masing.

“Sebab itu kita letak paras 90 peratus dan kita rasa ini adalah paras yang kita rasa selesa untuk kita buka sempadan ne­geri. Saya harap yang akan balik berjumpa dengan ibu bapa yang sudah berusia tua boleh melaksanakan tindakan-tindakan yang proaktif seperti membuat ujian kendiri dan sebagainya,” katanya.

Perjuangan kita menentang Covid-19 belum berakhir. Usah kita lalai dalam mematuhi norma baharu kehidupan untuk kepen­tingan bersama. Bagi antivaksin, diharapkan anda semua terbuka hati untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Pokok pangkalnya, sementara diberi peluang untuk merentas negeri, hargailah waktu itu. Ambil peluang ini untuk merapatkan kembali hubungan sesama insan. Hidup di dunia hanya sementara, jadi hargai peluang yang ada. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI