fbpx

Malaysia masih dahaga kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZRI menggesa rakan-rakan sepasukan agar terus mengekalkan momentum kemenangan menjelang aksi terakhir bertemu Thailand pada saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia esok.

PENJAGA gol No.1 skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Azri Ab. Ghani enggan mendabik dada dengan pujian sebaliknya kekal fokus untuk membantu pasukan menamatkan kempen kelayakan Piala Asia B-23 2022 dengan status juara.

Sebagai rekod, kelibat penjaga gol Perak FC berusia 22 tahun itu dilihat cukup kebal sebagai benteng terakhir dalam membantu pasukan menamatkan dua perlawanan menentang Laos dan Mongolia tanpa dibolosi.

Kata Azri, pujian wajar diberikan kepada semua pemain kerana mempamerkan semangat juang tinggi dalam memastikan skuad B-22 dapat meraih dua kemenangan sekali gus selangkah lagi layak ke kejohanan utama Piala Asia B-23 tahun depan.

“Secara jujur, saya sangat gembira dapat mengharungi dua perlawanan tanpa dibolosi tetapi percaya pujian itu wajar diberikan kepada rakan-rakan sepasukan yang lain khususnya di benteng pertahanan.

“Saya lihat pasukan sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan cuaca di Mongolia dan sebab itu pada aksi pertama kami agak bergelut, tetapi situasi berbeza pada aksi kedua kelmarin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Azri optimis dengan peluang pasukan untuk muncul juara peringkat Kumpulan J menjelang aksi terakhir bertemu Thailand esok tetapi de­ngan syarat semua pemain perlu memberikan 100 peratus di atas padang.

“Buat masa ini kedudukan masih memihak kepada pasukan negara selepas merekodkan dua kemenangan berturut-turut dan sudah tentu tekanan ketika ini adalah kepada Thailand.

“Justeru, peluang untuk kita layak ke pentas Piala Asia B-23 tahun depan agak cerah jika meraih sekurang-kurangnya keputusan seri.

“Namun, sudah tentu kemenangan yang kami buru kerana mahu penyokong bola sepak negara bangga apabila pasukan pulang ke tanah air nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI