Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
PENDAHULU Kumpulan B, Terengganu FC (TFC) tidak memandang mudah cabaran Perak FC menjelang kunjungan Skuad Penyu ke Ipoh pada aksi Piala Malaysia malam ini.
Ketua jurulatihnya, Mohd. Nafuzi Zain berkata, skuad The Bos Gaurus masih lawan yang sukar biarpun dibarisi pemain muda, namun rekod Liga Super yang lebih memihak kepada TFC.
Beliau berkata, Perak FC menunjukkan peningkatan dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sekali gus menjanjikan pertembungan sengit setelah aksi Piala Malaysia berehat selama sebulan.
“Bukan mudah untuk bertemu Perak FC di ‘rumah’ mereka, tambahan pula dengan kembalinya pemain ke-12 iaitu penyokong. Jadi perlawanan lepas hanya sejarah bagi saya.
“Walaupun melepaskan empat pemain import baru-baru ini, Perak FC masih ada tiga tonggak yang boleh memberikan masalah kepada pemain kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Nafuzi berkata, 20 minit pertama agak penting untuk TFC mendapatkan rentak selain memburu gol awal bagi menaikkan moral pasukan.
Tambah beliau, ketiadaan tiga pemain utama iaitu bek kanan, Azam Azmi Murad; pemain sayap, Hakimi Abdullah serta perancang tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat tidak menjejaskan skuad Sang Penyu.
“Barisan pemain lain kini bebas daripada senarai kecederaan dan bersedia untuk diturunkan mengisi posisi yang dikosongkan tiga tonggak skuad B-22 negara yang kini berjuang pada aksi Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia.
“Ia termasuk tonggak Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim yang kini berada pada prestasi terbaiknya dan akan terus menjadi taruhan di bahagian sayap,” katanya.
Mohd. Nafuzi berkata, walaupun dua kemenangan awal belum menjamin kelebihan TFC tetapi kemenangan malam ini sudah akan mencerahkan peluang gergasi Pantai Timur ke suku akhir.