BELGRADE – Pemain No.1 dunia, Novak Djokovic memberi bayangan tidak akan mempertahankan kejuaraan pada Terbuka Australia tahun depan selepas enggan menjalani arahan kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh kerajaan negara itu.
Sebagai rekod, kerajaan wilayah Victoria yang menganjurkan kejohanan bertaraf Grand Slam di Melbourne itu sebelum ini tidak membenarkan mana-mana atlet belum divaksin menyertai saingan musim depan sehingga menimbulkan konflik nasional.
Namun, selepas mendapat campur tangan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, kelonggaran akhirnya diberikan kepada atlet yang enggan menerima vaksin Covid-19 untuk bersaing pada Terbuka Australia tetapi dengan syarat perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.
Susulan itu, Djokovic dalam satu kenyataan semalam mengakui sukar untuknya menyertai saingan Terbuka Australia meskipun kejohanan itu antara kegemaran peribadi selepas bergelar juara sembilan kali dalam kariernya.
“Kami sudah melalui pengalaman cukup ngeri tahun ini apabila terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum menyertai Terbuka Australia dan saya tidak berminat untuk melalui pengalaman sama musim depan.
“Ini kerana, jika anda dalam satu penerbangan dengan penumpang yang positif Covid-19, tidak kira dia sudah menerima vaksin atau tidak, semua orang akan tetap menjalani kuarantin 14 hari dan itu bukan sesuatu yang adil,” kata pemain berusia 34 tahun itu.
Juara Grand Slam sebanyak 20 kali itu difahamkan masih enggan mengesahkan status vaksinasi sama ada sudah lengkap dua dos atau sebaliknya.
Bagi atlet yang sudah lengkap vaksinasi, mereka tidak mempunyai masalah untuk terus bersaing pada kejohanan Terbuka Australia tetapi masih tetap perlu mengikuti prosedur standard operasi (SOP) gelembung sukan. – AGENSI