fbpx

Ikan besar jadi igauan pemancing di kolam air masin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKI pancing hebat dengan skil tersendiri pasti membawa tangkapan yang banyak.

KOLAM Memancing Gertak Sanggul di Teluk Kumbar, Pulau Pinang kini menjadi destinasi tarikan bagi kumpulan kaki pancing tegar.

Terletak di pinggiran kota iaitu kira-kira 4 kilometer (km) dari pekan lama Teluk Kumbar, ternyata memberi suatu momen berharga buat para pengunjungnya.

Lokasinya yang di kelilingi dusun buah-buahan milik penduduk setempat dan berdekatan pantai itu juga mampu merakam pengalaman luar biasa dengan hasil tangkapan ikan yang luar biasa.

Pengusahanya, Ishak Shadek berkata, kolam air masin di tanah seluas kira-kira 0.4 hektar itu mula menjadi tumpuan peminat pancing sejak pembukaannya pada 17 Disember tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak lima spesies ikan iaitu siakap putih dan merah, jenahak, kerapu dan GT telah dilepaskan di kolam yang berlantaikan kanvas dengan kedalaman 2.1 meter.

“Sebanyak 3 kilogram (kg) ikan dilepaskan setiap dua jam bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

“Pemancing yang bernasib baik akan membawa pulang ikan besar, terutamanya ikan kerapu bersaiz 2kg hingga 10kg. Kebiasaannya, mereka tidak pulang tangan kosong,” katanya.

Air di kolam itu disedut dari laut yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi.

Jelas Ishak, caj kemasukan adalah RM60 seorang bagi setiap tiga jam dan pengunjung tidak dibenar menggunakan peralatan memancing seperti gewang, mata tiga, anak lampam, tilapia dan belanak.

Seorang kaki pancing, Nasrol Che Din, 44, memberitahu, lokasi Kolam Memancing Gertak
Sanggul menjadi port pilihannya setiap minggu memandangkan suasana di sekelilingnya yang tenang dan santai.

Nasrol yang tinggal di Bandar Perda, Teluk Kumbar itu berkata, dia sanggup berhabis duit semata-mata kerana hobi memancing ikan di kolam air masin berkenaan.

“Saya sudah lama datang ke sini sehingga boleh dikatakan sudahpun mahir membaca pergerakan ikan. Di sini, pemancing tidak akan balik tangan kosong. Mesti bawa bersama hasil tangkapan biarpun hanya seekor.

“Pernah saya dapat 15 hingga 18 ekor ikan pelbagai spesies seperti kerapu seberat lebih 6kg dalam tempoh empat hingga lima jam memancing menggunakan dua umpan.

PEMANCING pasti berpuas hati kerana tidak pulang dengan tangan kosong.

“Kesemua hasil tangkapan itu dijual pada harga RM600, selain ada juga yang diberikan kepada jiran.

“Ini merupakan satu kepuasan pada diri biarpun ia bergantung pada rezeki atau nasib,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya lagi, terdapat banyak kelebihan sekiranya memilih untuk memancing di kolam ikan berbanding berada di tengah laut.

“Di sini, sudah tentu kita tahu apa spesies yang ada di dalamnya dan hanya perlu menyasarkan hasil tangkapan tersebut.

“Di laut, kita belum tentu memperoleh spesies-spesies yang ada selain faktor keselamatan, keadaan laut dan cuaca.

“Melakukan aktiviti memancing di kolam juga memerlukan kepakaran seperti kaedah menangkap, penggunaan peralatan seperti pelampung, teknik bottom dan casting serta mahir dengan lubuk ikan.

“Selain rod, tali dan mesin, pemancing kena tahu teknik memancing dengan betul termasuk kaedah membaling tali tangsi serta penggunaan saiz mata kail.

“Ini memainkan peranan penting bagi mendapat hasil tangkapan yang berbaloi,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Zamri Sahib, 47, pula berkata, memilih memancing di kolam tersebut merupakan satu keputusan yang tepat.

“Jika sebelum ini, saya memilih lokasi memancing di pinggir pantai, tetapi kali ini memang menghabiskan masa lapang dengan datang ke sini setiap hari.

“Paling banyak pernah bawa balik adalah sebanyak 13 ekor ikan dan kemudiannya dijual kepada peraih di pasar.

“Memang puas hati kerana saya tidak pulang dengan tangan kosong.

“Bukan sahaja jadi ketagih, tetapi di sini kita boleh bertemu dengan ramai lagi kaki pancing tegar, selain dapat berkongsi kemahiran dan kepakaran memancing,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI