fbpx

Azharina Azhar 15 tahun bahagia solo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZHARINA AZHAR

TEMPOH 22 tahun berkelana sebagai anak seni bukan satu jangka masa singkat untuk mengukuhkan nama dalam industri.

Segala sepak terajang, onak diri, kontroversi dan sensasi menjatuhkan imej, itu antara ‘pakej’ yang perlu ditelan hampir setiap jiwa bernama selebriti.

Begitu juga dengan Azharina, tempoh dua dekad melayari bahtera seni tidak semuanya manis. Ada sahaja sisi gelap dan awan kelabu berarak seiring langkahnya.

Memulakan kerjaya menerusi program Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2001, nama Azharina mula menjadi tumpuan selepas dinobatkan sebagai juara sekali gus menundukkan beberapa nama lain,

Pada masa tersebut, umurnya baharu sahaja 16 tahun dan masih belum tamat persekolahan, tetapi dek semangat dan darah seni yang menderas dalam diri, semuanya diketepikan dan langsung tidak menjadi batu penghalang untuknya menggapai bintang.

Pejam celik pejam celik, sudah dua dekad anak jati kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini berkelana melayarkan bahtera seninya di Kuala Lumpur.

“Tempoh 22 tahun itu bukan suatu yang singkat. Bilang apa sahaja yang saya tak pernah hadapi dan lalui.

“Bahagia, senyum, duka, menangis semuanya sebati menjadi satu. Semuanya saya genggam erat menjadi penguat semangat menemani langkah perjalanan saya hingga ke hari ini,” katanya membuka aksara kata kepada HibGlam.

Menerusi temu bual secara dalam panggilan pada petang Rabu tempoh hari, tiada ungkapan lebih kerap terbutir dari bibirnya selain menzahirkan kesyukuran kerana masih bertahan hingga ke saat ini.

Akuinya, dia kadang-kadang seakan-akan tidak percaya mampu mengheret dan menghayun langkah kakinya hingga ke tahap sekarang.

JUARA Gegar Vaganza musim ketiga itu bersyukur rezekinya dalam industri seni masih diterima dan namanya kekal relevan hingga ke saat ini.

Kepuasan

Bagi Azharina juga, tiada kejayaan lebih tinggi untuk dibanggakan oleh anak seni, selain dapat membalas segala penghargaan yang sekian lama diberikan kepada masyarakat lebih-lebih lagi yang tidak jemu-jemu menyokong karier seninya.

Justeru, pemilik nama sebenar Azharina Azhar, 36, turut mahukan sesuatu yang dapat diberikan kembali kepada peminat, terutama buat mereka yang lebih memerlukan.

Lama menyimpan hasrat dan buntu memerah otak untuk melunaskan niat murninya, Azharina yang lebih mesra disapa Nina terjentik hatinya untuk mengadakan sebuah konsert amal secara kecil-kecilan.

Mula memikir, menyusun dan merangka strategi bersama pasukannya, tidak sampai sebulan akhirnya Konsert Amal Azharina And Friends berjaya terlaksana pada 23 Oktober lalu.

“Alhamdulillah dengan izin Yang Maha Esa, niat saya untuk membantu golongan memerlukan akhirnya terlaksana.

“Bayangkan tidak sampai sebulan mengatur strategi, akhirnya semua dipermudahkan pada malam kemuncak konsert tersebut. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat.

AKUI Azharina, tiada apa yang menggembirakannya apabila dapat menyumbang kembali kepada golongan memerlukan menerusi konsert amal anjuran sendiri minggu lalu.

“Rakan penaja, syarikat konglomerat, agensi kerajaan, pasukan, rakan-rakan artis, lokasi dan semuanya, terima kasih saya ucapkan.

“Tanpa sokongan padu anda semua, mana mungkin saya dapat jayakan seorang diri,” tuturnya.

Meneruskan perbualan, penyanyi yang mendapat jolokan Queen Of Soul itu menyifatkan konsert amal baru-baru ini sebagai satu kepuasan dalam diri setelah sekian lama bergelar penyanyi.

“Saya nak bantu ramai tidak termampu. Jadi menerusi konsert amal ini, saya cuba cari dan kumpul sebanyak mungkin dana untuk disalurkan kepada mereka yang kita sasarkan.

“Alhamdulillah hingga ke hari ini, bantuan yang disalurkan tidak henti-henti diterima rentetan daripada kejayaan konsert tempoh hari,” katanya yang memfokuskan mangsa banjir di Sabah dan mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

PANDEMIK Covid-19 yang masih menunggu mangsa membuatkan Azharina lebih berjaga-jaga dan mengehadkan aktiviti serta kerja luar untuk ketika ini.

Iktibar, pengajaran

Tutup seketika ceritera konsert, Azharina yang merupakan ibu tunggal kepada dua cahaya mata menyifatkan kehadiran pandemik banyak mengubah pola corak hidupnya.

Jika sebelum ini semuanya dilakukan secara bersemuka, kini tidak lagi.

Bagi Azharina, dia terpaksa akur dan ikut sahaja dengan segala perintah dan peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan.

Kata pelantun lagu popular Elegi Sepi itu, demi mengelak penularan penyakit maut itu, prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi dan segala hal aktiviti boleh dikatakan dilakukan secara maya sebelum ini.

“Nak atau tak, saya kena terima dan ambil perkara ini dari sudut positif termasuklah segala cabaran getir ketika pandemik ini,” katanya.

Mengulas ringkas mengenai kematian yang meragut nyawa rakan artis yang dekat dengannya akibat wabak jahat tidak diundang, Azharina menyifatkan perkara tersebut sebagai takdir Allah, sekali gus satu iktibar.

Katanya, pemergian rakan baiknya Siti Sarah ialah satu kehilangan besar buat industri, bahkan satu tamparan hebat buatnya sendiri.

Akui Azharina, hubungannya dengan arwah ibarat ‘belangkas’ sewaktu sama-sama menyertai Bintang RTM dahulu.

“Seinci kenangan pun tak akan pernah saya lupakan ketika bersama arwah dahulu. Pergilah ke mana pun, kami tetap bersama susah senang.

“Arwah aktif masuk pelbagai pertandingan dan mesti ajak saya sekali. Semasa dalam Bintang RTM, kami digelar belangkas, sehinggalah dia sudah berkahwin dan saya sudah ada anak, waktu itu hubungan kami tetap utuh.

“Bila dia sudah tiada, saya rasa kehilangan auranya. Kadang-kadang masih tidak boleh percaya dia pergi meninggalkan kita semua disebabkan wabak kejam ini,” katanya.

DALAM soal hati dan peneman hidup, Azharina tidak meletakkan perkara tersebut sebagai kepentingan, namun tidak menolak sekiranya didatangi jodoh tepat suatu hari nanti.

Hidup solo

Ditebak soalan klise mengenai kehidupan solonya yang memasuki angka 15 tahun selepas perkahwinan pertamanya musnah di tengah jalan, Azharina mengakui lebih selesa dengan kehidupan solo.

Katanya, tempoh masa 15 tahun itu bukan satu yang singkat bagi seorang ibu tunggal sepertinya hidup tanpa seorang lelaki bergelar imam di sisi.

Buat masa sekarang, Azharina tidak melihat keperluan untuk hidup berdua kerana hatinya bahagia ditemani anaknya iaitu Rahmat Azharin Azhar, 7, dan Redha Azharin Azhar, 4, yang semakin membesar di depan matanya.

“Saya harus memberikan tumpuan kepada mereka. Jika ditakdirkan bertemu jodoh, alhamdulillah.

“Jika sebaliknya, saya reda kerana cukuplah saya hidup ditemani anak.

“Dalam hal ini, mudah kata saya hanya berserah kepada takdir dan ketentuan di tangan Allah.

“Lagipun, saya pun sibuk bekerja setelah kita semua dibenarkan kembali bertugas di luar ketika ini,” katanya.

Tambah Azharina lagi, apa yang bermain dalam fikirannya adalah untuk terus fokus terhadap kerjaya seni yang dicintainya, keluarga dan termasuklah menguruskan beberapa cabang perniagaan yang diusahakan kini.

“Buat masa ini, apa pun anak-anak dan keluarga yang jadi keutamaan.

“Merekalah tulang belakang saya. Jadi soal jodoh tu, terserahlah,” ujarnya menuntaskan kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI