MANCHESTER – Kapten Manchester United, Harry Maguire menggesa rakan sepasukan untuk bangkit memberikan persembahan terbaik menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi esok.
United kini mengharungi empat perlawanan EPL tanpa kemenangan termasuk dibelasah 0-5 oleh musuh tradisi, Liverpool minggu lalu selepas kali terakhir mengutip tiga mata ketika menang ke atas West Ham United pertengahan bulan lalu.
Justeru, tekanan kian memuncak buat pengurus The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer meskipun dikatakan masih mendapat kepercayaan lembaga pengarah kelab untuk mengemudi pasukan ketika bertemu Spurs.
“Minggu yang cukup sukar untuk kami kerana bukan senang untuk lupakan kekalahan seperti itu terutama apabila tewas kepada musuh tradisi. Semua pemain masih lagi kecewa dengan kekalahan tersebut.
“Kami semua sudah berbincang dan menganalisis perlawanan itu bagi memastikan aksi lebih baik bertemu Spurs. Kami tidak mahu terus mengecewakan penyokong yang datang ke stadium,” kata bintang skuad antarabangsa England itu.
Tambah Maguire, biarpun sukar untuk melupakan kekalahan memalukan itu, namun dia menaruh sepenuh kepercayaan terhadap rakan sepasukan bagi memastikan United kembali berada pada landasan sebenar.
“Kami memiliki kumpulan pemain yang sentiasa positif. Masih ada banyak perlawanan yang perlu diharungi, jadi kami tidak boleh mengalah terlalu awal dalam impian untuk memenangi sesuatu musim ini,” ujarnya. – AGENSI